Tuesday, June 29, 2010
Cadangan Kementerian Pelajaran yang diterajui oleh Tan Sri Muhyidin Yasin untuk menghapuskan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) & Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu lepas menimbulkan beberapa pandangan sama ada ahli politik, tenaga pengajar serta ibu bapa.
Kerajaan kini cuba menampakkan sikap toleransi mereka dengan berhasrat  ingin mendengar pandangan dan kritikan beberapa pihak sebelum  perlaksanaan dasar ini.
Atas dasar ingin membawa transformasi terhadap kaedah pembelajaran yang  sedia ada yang dilihat lebih mengutamakan pencapaian dalam peperiksaan  (examination oriented), cadangan untuk mewujudkan satu sahaja  peperiksaan awam yang kemungkinannya hanya Sijil Pelajaran Malaysia  ditimbulkan.
Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan  oleh kementerian untuk memansuhkan peperiksaan UPSR & PMR apatah  lagi jika ia dilakukan dalam masa terdekat.
Ia mengingatkan saya kepada tindakan kementerian yang memilih untuk  melaksanakan Dasar Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik  Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Dasar yang mula dilaksanakan pada tahun 2003 dikritik hebat lantaran  matlamat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar  sekolah mencapai hasrat seperti yang dijagka.
Lebih memburukkan apabila pelajar bangku sekolah yang mengalami masalah  mempelajari subjek sains dan matematik akibat perlaksanaan dasar  tersebut. Malah jurang tahap pemahaman subjek tersebut di antara kawasan  bandar dan luar bandar juga semakin jauh.
Kemuncaknya diadakan demonstrasi besar-besaran yang menghimpunkan puluh  ribu rakyat bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka serta mengajukan  memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong.
Setelah dikritik hebat oleh pelbagai pihak, maka Kementerian Pelajaran  mula mengambil langkah untuk kembali kepada kaedah pengajaran dalam  Bahasa Melayu untuk kedua-dua subjek diatas. Hasrat ini telah dinyatakan  sendiri oleh Tan Sri Muhyidin Yasin tahun lepas.
Walaupun kesediaan kementerian untuk mengembalikan kaedah pengajaran  kepada kaedah asal, namun masih wujud keraguan terhadap kenyataan  tersebut. Pelan perubahan tersebut masih tidah memuaskan hati ramai  pihak dan perkara ini mula disenyapkan semula.
Walaupun perkara ini telah disenyapkan dan masih tidak selesai secara  muktamad, wujud pula cadangan untuk memansuhkan peperiksaan UPSR &  PMR.
Seperti tindakan sebelumnya, langkah ini juga akan memberi kesan yang  besar kepada kaedah pembelajaran terutamanya anak muda di negara kita.
Peperikaaan merupakan kayu ukur tahap kefahaman seseorang terhadap  subjek yang telah dipelajari. Walaupun saya bersetuju bahawa peperiksaan  bukanlah cara mutlak mengukur tahap pemahaman, namun kaedah ini masih  dianggap relevan dan masih digunakan bukan hanya di peringkat sekolah,  tetapi juga di Institut Pengajian Tinggi.
Keputusan UPSR yang cemerlang lazimnya dapat menentukan pelajar terpilih  memasuki sekolah berasrama penuh. Manakala PMR pula merupakan pengukur  kepada aliran yang bersesuaian serta mampu dipilih oleh pelajar sewaktu  di tingkatan 4.
Maka, andai dua peperiksaan ini dimansuhkan, akan menimbulkan masalah  bagi menilai prestasi para pelajar. Apakah makanisma yang lebih baik  yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada penyelesaian masalah  diatas?
Malah, bagi tempoh pelajaran selama 11 tahun bagi tempoh pengajian di  sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, kaedah peperiksaan tunggal  SPM dilihat kurang signifikan.
Justeru, menjadi tanggungjawab pihak Kementerian Pengajaran untuk  memberi penerangan yang tepat terhadap pelan perlaksanaan gantian kepada  method peperiksaan yang hendak dimansuhkan.
Kesilapan besar yang telah dilakukan oleh kementerian dalam perlaksanaan  dasar PPSMI seperti yang pernah dikritik hebat sebelum ini tidak harus  diulang.
MAHASISWAKINI.
 
 
