Tuesday, June 29, 2010

Selepas PPSMI, Mansuhkan pula UPSR dan PMR

Cadangan Kementerian Pelajaran yang diterajui oleh Tan Sri Muhyidin Yasin untuk menghapuskan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) & Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu lepas menimbulkan beberapa pandangan sama ada ahli politik, tenaga pengajar serta ibu bapa.


Kerajaan kini cuba menampakkan sikap toleransi mereka dengan berhasrat ingin mendengar pandangan dan kritikan beberapa pihak sebelum perlaksanaan dasar ini.
Atas dasar ingin membawa transformasi terhadap kaedah pembelajaran yang sedia ada yang dilihat lebih mengutamakan pencapaian dalam peperiksaan (examination oriented), cadangan untuk mewujudkan satu sahaja peperiksaan awam yang kemungkinannya hanya Sijil Pelajaran Malaysia ditimbulkan.


Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh kementerian untuk memansuhkan peperiksaan UPSR & PMR apatah lagi jika ia dilakukan dalam masa terdekat.
Ia mengingatkan saya kepada tindakan kementerian yang memilih untuk melaksanakan Dasar Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).


Dasar yang mula dilaksanakan pada tahun 2003 dikritik hebat lantaran matlamat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah mencapai hasrat seperti yang dijagka.
Lebih memburukkan apabila pelajar bangku sekolah yang mengalami masalah mempelajari subjek sains dan matematik akibat perlaksanaan dasar tersebut. Malah jurang tahap pemahaman subjek tersebut di antara kawasan bandar dan luar bandar juga semakin jauh.


Kemuncaknya diadakan demonstrasi besar-besaran yang menghimpunkan puluh ribu rakyat bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka serta mengajukan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong.
Setelah dikritik hebat oleh pelbagai pihak, maka Kementerian Pelajaran mula mengambil langkah untuk kembali kepada kaedah pengajaran dalam Bahasa Melayu untuk kedua-dua subjek diatas. Hasrat ini telah dinyatakan sendiri oleh Tan Sri Muhyidin Yasin tahun lepas.
Walaupun kesediaan kementerian untuk mengembalikan kaedah pengajaran kepada kaedah asal, namun masih wujud keraguan terhadap kenyataan tersebut. Pelan perubahan tersebut masih tidah memuaskan hati ramai pihak dan perkara ini mula disenyapkan semula.


Walaupun perkara ini telah disenyapkan dan masih tidak selesai secara muktamad, wujud pula cadangan untuk memansuhkan peperiksaan UPSR & PMR.
Seperti tindakan sebelumnya, langkah ini juga akan memberi kesan yang besar kepada kaedah pembelajaran terutamanya anak muda di negara kita.
Peperikaaan merupakan kayu ukur tahap kefahaman seseorang terhadap subjek yang telah dipelajari. Walaupun saya bersetuju bahawa peperiksaan bukanlah cara mutlak mengukur tahap pemahaman, namun kaedah ini masih dianggap relevan dan masih digunakan bukan hanya di peringkat sekolah, tetapi juga di Institut Pengajian Tinggi.
Keputusan UPSR yang cemerlang lazimnya dapat menentukan pelajar terpilih memasuki sekolah berasrama penuh. Manakala PMR pula merupakan pengukur kepada aliran yang bersesuaian serta mampu dipilih oleh pelajar sewaktu di tingkatan 4.


Maka, andai dua peperiksaan ini dimansuhkan, akan menimbulkan masalah bagi menilai prestasi para pelajar. Apakah makanisma yang lebih baik yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada penyelesaian masalah diatas?
Malah, bagi tempoh pelajaran selama 11 tahun bagi tempoh pengajian di sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, kaedah peperiksaan tunggal SPM dilihat kurang signifikan.


Justeru, menjadi tanggungjawab pihak Kementerian Pengajaran untuk memberi penerangan yang tepat terhadap pelan perlaksanaan gantian kepada method peperiksaan yang hendak dimansuhkan.
Kesilapan besar yang telah dilakukan oleh kementerian dalam perlaksanaan dasar PPSMI seperti yang pernah dikritik hebat sebelum ini tidak harus diulang.

MAHASISWAKINI.

0 comments:

Post a Comment